APRIL 2023

Kementerian Perladangan Dan Komoditi Sambut Baik Kemasukan UK


KUCHING: Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) mengalu-alukan kemasukan United Kindom (UK) dalam Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongisan Trans-Pasifik (CPTPP) dan kenyataannya terhadap kelapa sawit.

Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato Sri Fadillah Yusof berkata Setiausaha Perdagangan UK, Kemi Badenoch membuat kenyataan yang menangkis idea penyahhutanan dalam sektor sawit dan kempen negatif berhubung kait dengan minyak kelapa sawit adalah tidak benar.

"Kita menyambut baik kenyataan mereka dan kita melihat kehadapan untuk bekerjasama dengan UK dalam bidang komoditi ini dan perdagangan antara kedua negara akan dipergiatkan lagi,” katanya semasa Program Agihan Bubur Kacang Hijau anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Enam Taman Kuching di Surau Al Hidayah, Taman Sejoli, Petra Jaya, di sini.

Sebanyak 350 kontena bubur kacang diagihkan kepada enam taman di sekitar kawasan perumahan tersebut.

Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya berkata, UK bukan lagi sebahagian dari Kesatuan Eropah (EU), namun pihaknya masih berhubung dengan EU dan berharap mereka memahami usaha untuk melaksanakannya termasuk kelestarian minyak kelapa sawit dan produk hutan.

"Kita komited untuk memelihara alam sekitar dan dari segi segi amalan baik dalam sektor pertanian dan memastikan kelestarian ini menjadi salah satu yang kita perjuangkan," katanya.

Sumber dari : Jiwa Bakti